2017

Sesi Bercerita MBBY

Sesi Bercerita MBBY diadakan dengan kerjasama Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) – Perpustakaan Putrajaya dari bulan September hingga November 2017. 

Sesi bercerita pertama diadakan pada 30 September pada jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan dikendalikan oleh Datin Rossiti Aishah Rashidi di PPK Presint 16 Putrajaya. Dengan judul “We Love Trees” daripada nukilan karyanya sendiri, beliau menekankan kepentingan alam sekitar kepada kanak-kanak yang hadir ke sesi bercerita bersamanya. Selain itu, aktiviti melukis juga diadakan. Aktiviti ini turut disertai oleh ibu bapa yang hadir menemani anak-anak mereka.     

Seterusnya pada 29 Oktober 2017, Sabtu, sesi bercerita berjudul “Happylicious Cooking with Mohana” dikendalikan pula oleh Puan Mohana Gill di PPK Presint 8 Putrajaya yang bertemakan pemakanan sihat. Aktiviti dimulakan dengan penerangan daripada siri Hayley’s Happylicious karyanya sendiri, dan diikuti dengan aktiviti menyediakan makanan sihat menggunakan buah-buahan dan sayuran tempatan yang berkhasiat. 

Seminar MBBY

Satu seminar telah diadakan pada 29 Julai 2017 di Dewan Kuliah C, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM). Seminar anjuran MBBY dengan kerjasama FSSS, UM ini melibatkan tiga pembentangan semula kertas kerja dari Malaysia yang pernah dibentangkan pada Asia-Oceania Regional IBBY Conference di Bangkok, Thailand yang diadakan pada 9-12 Mei 2017.

Pembentangan pertama berjudul “Empowering Children to Construct and Deconstruct Their Own Story” yang disampaikan oleh Dr Jamilah Mustafa dari Universiti Selangor (UNISEL). Ini diikuti oleh Prof. Madya Dr Maizurah Omar dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kertas kerja berjudul “Integrating Arts and Science to Enhance Visual Literacy” dan Prof. Dr Md Sidin Ahmad Ishak dari UNISEL dengan judul kertas kerjanya “Emerging Issues Related to Developmet of E-book in Malaysia.”

Bengkel Kamishibai

Bengkel Kamishibai telah diadakan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) pada 14 dan 15 Mei 2017. Bengkel anjuran bersama MBBY dan UM ini dikendalikan oleh Etsuko Nozaka dari International Kamishibai Association of Japan (IKAJA). Bengkel ini disertai oleh kira-kira 20 orang peserta. 

Kamishibai merupakan salah satu teknik bercerita yang berasal dari Jepun. Menerusi bengkel ini, para peserta diperkenalkan dengan teknik penceritaan Kamishibai yang menggunakan menggunakan kad atau kertas keras yang mempunyai cerita dan ilustrasi untuk diceritakan kepada sekumpulan kanak-kanak. Cerita disampaikan oleh tukang cerita menerusi pentas mini atau kotak kayu berpintu tiga yang dipanggil sebagai “butai”. 

Peserta bengkel juga diberi peluang untuk mengaplikasikan teknik ini setelah penerangan diberikan oleh Etsuko.